APA MAKLUMAT NIKAH KAHWIN DI THAILAND YANG PERLU TAU


Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla

Majlis Agama Islam Songkhla (MAIS) bertanggung jawab melantik dan mentauliah semua jurunikah di Wilayah itu. Pada masa ini, ada 30 naib kadi yang dilantik untuk menjadi jurunikah oleh MAIS dan mereka inilah yang boleh menikahkan rakyat Malaysia dalam Wilayah itu. Mereka ini menjalankan upacara ijab kabul dan kemudian mengeluarkan sijil kahwin. Majlis ini juga mengeluarkan surat pengesahan nikah yang ditujukan kepada satu-satunya Konsulat Malaysia bagi Selatan Thailand, di Songkhla.

Untuk menangani masalah kahwin yang diuruskan oleh sindiket haram, ijab kabul bagi rakyat Malaysia sekarang hanya dibenarkan di pejabat Majlis Agama Islam yang bertempat di Hat Yai.


TEMPAT NIKAH:

Pasangan akan di bawa ke Pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla  yang terletak lebih kurang 70 km dari sempadan Bukit Kayu Hitam. Di sinilah ramai pasangan dari Malaysia melangsungkan perkahwinan mereka. Hanya di Songkhla sahajalah wilayah yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama Islam di Malaysia dan Kerajaan Malaysia.


KADI/JURUNIKAH
Semua kadi dan saksi mempunyai tauliah.Sijil nikah yang dikeluarkan oleh Pejabat Majlis agama Islam Wilayah Songkhla adalh diiktiraf oleh Konsulat Malaysia di Songkhla. Tanpa surat Pengesahan dari Majlis Agama Islam di sini pihak konsulat Malaysia tidak akan membuat sebarang pengesahan pada Sijil Nikah kita. Akad nikah akan dijalankan oleh salah seorang Naib Kadi yang bertindak sebagai Jurunikah. Urusan nikah memakan masa hanya 30 minit sahaja.


BILIK AKAD NIKAH
MAIS telah menyediakan sebuah bilik khas untuk pasangan bernikah. Di bilik inilah pasangan diijab kabul, lafaz taalik, pemberian mas kahwin dan upacara menyarung cincin dan sebagainya diadakan dengan cukup meriah dalam suasana yang menyerikan sebagaimana yang dilakukan di Malaysia. Malah selepas ijab kabul pasangan boleh bergambar di atas pelamin yang disediakan khas kepada pasangan. Gambar-gambar inilah yang menjadi bahan bukti untuk diserahkan kepada mahkamah semasa hendak membuat pendaftaran semula pernikahan anda di Malaysia.

KONSULAT MALAYSIA SONGKHLA


Di sinilah tempat rakyat Malaysia memohon untuk mendapatkan surat pengesahan sijil  nikah mereka. Tanpa surat pengesahan dari konsulat Malaysia sijil nikah mereka di anggap tidak sah dan tidak di iktiraf oleh kerajaan Malaysia. Jadi setiap pernikahan rakyat Malaysia terutama yang berkahwin di Majlis Agama Islam Malaysia adalah diwajibkan mendapat pengesahan terlebih dahulu sebelum mereka membuat permohonan untuk mendaftarkan pernikahan mereka di Malaysia nanti. Jarak antara Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla dengan Pejabat Konsulat ini hanya lebih kurang 25 km sahaja.